KUANTAN
- Seorang lelaki maut selepas separuh badannya rentung dalam kejadian
kebakaran di sebuah kedai bateri kenderaan di Taman Indera Sempurna, di
sini, pagi semalam.
Dalam
kejadian kira-kira 11 pagi itu, pemilik kedai, Leong Hong Bin, 28,
ditemui maut dalam sebuah bilik di kedai terbabit oleh anggota Bomba dan
Penyelamat yang memadam kebakaran.
Saksi kejadian, Zarin Mohd
Taib, 35, berkata, dia ternampak asap keluar dari bahagian depan pintu
kedai tersebut kira-kira jam 11 pagi.
Menurutnya, dia kemudiannya memanggil beberapa rakan yang berada di kawasan berkenaan dan membuka pintu kedai itu.
“Sebaik sahaja membuka pintu kedai, saya lihat api sudah marak namun kami tetap cuba memadamkannya namun gagal.
“Saya terus menghubungi pihak bomba kerana api sukar dikawal. Waktu itu
saya tidak tahu ada orang di dalam kedai berkenaan kerana tidak
mendengar sebarang jeritan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Zarin berkata, mangsa kebiasaannya membuka kedainya pada awal pagi namun tidak berbuat demikian semalam. Isteri mangsa, Patou, 23, yang merupakan warga Laos berkata, suaminya keluar ke kedai kira-kira jam 9.30 pagi semalam.
Katanya, kebiasaannya, suami bergilir-gilir menguruskan kedai itu
bersama ibu bapanya namun sejak seminggu lalu mangsa bekerja sendirian
kerana ibu bapanya melancong ke Vietnam.
“Sepatutnya saya
menemaninya ke kedai, tapi saya penat, jadi dia pergi ke kedai
bersendirian,” kata ibu dua anak berusia 2 tahun dan 9 bulan itu.
Sebelum itu, Patou dan adik perempuan mangsa diminta membuat pengecaman mayat Hong Bin.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat
negeri, Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam
11.45 pagi sebelum dua jentera bergegas ke lokasi kejadian.
“Pihak bomba dan penyelamat berjaya mengawal api daripada merebak kira-kira 40 minit kemudian.
“Hasil pemeriksaan, anggota bomba menemui mayat mangsa yang sudah
rentung terbaring di atas lantai dalam pejabat premis berkenaan,”
katanya.
Anuar berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan
kepada polis untuk tindakan selanjutnya sebelum dibawa ke Hospital
Tengku Ampuan Afzan Kuantan bagi bedah siasat. Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Operasi diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Mat Lazim
Jaafar bersama 10 anggota dan turut mendapat kerjasama anggota dari
Balai Bomba Kuantan.
sumber: Sinar Harian